Monday 28 September 2015

Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

ADHD

Memahami anak yang sukar duduk diam, kurang memberi tumpuan kepada sesuatu perkara dan bertindak spontan mengikut kehendak hati serta sukar mengasingkan maklumat adalah penting bagi membantu ibu bapa mengendalikan mereka dengan baik. Istilah yang kebiasaannya digunakan bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku terlampau aktif dan mengganggu tetapi masih mempunyai tumpuan yang singkat ialah hiperaktif atau attention deficit hyperactivity disorder (ADHD). Kajian Kementerian Kesihatan pada tahun 2001 menunjukkan bahawa 4.3 peratus kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan umur lima hingga 15 tahun mengalami penyakit ini dan kebanyakannya adalah lelaki.

ADHD pertama kali digambarkan oleh Dr Heinrich Hoffman pada tahun 1845. Seorang doktor yang menulis buku mengenai perubatan dan psikiatri, Dr Hoffman juga seorang penyair yang menjadi berminat dalam menulis untuk kanak-kanak apabila dia tidak dapat mencari bahan-bahan yang sesuai untuk bacaan anak lelakinya yang berusia 3 tahun. Hasilnya, sebuah buku puisi lengkap dengan ilustrasi berkaitan kanak-kanak dan ciri-ciri tingkah lakunya yang bertajuk The Story of Fidgety Philip berjaya disiapkan. Buku ini mengisahkan tentang seorang budak lelaki yang mengalami gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan.

Kajian berkaitan sindrom hiperaktif muncul pada abad ke-20 oleh Dr. George Still. Ia bermula apabila beliau diperkenalkan dengan seorang pesakit kanak-kanak lelaki berumur 9 tahun yang degil dan bermasalah. Budak lelaki ini telah mencuri duit, bermain dengan pisau dan tidak boleh mengenal huruf walaupun telah 3 tahun bersekolah. Dalam situasi berlainan, beliau juga telah berkenalan dengan seorang budak lelaki yang terlampau aktif. Budak ini telah membawa mancis ke sekolah dan menyalakan api. Walaupun sering dimarahi dan meminta maaf atas kesilapannya, dia tetap melakukan masalah yang sama.


Kajian demi kajian dilakukan sehingga tahun 1902, beliau telah mengeluarkan teori bahawa kanak-kanak yang menghidapi sindrom ini mempunyai masalah pada bahagian otak. Teori ini diterima berikutan gejala inflamasi otak pada tahun 1917-1918, dimana pesakit-pesakit yang mengalami inflamasi otak mempunyai masalah daya tumpuan. Pada tahun 1940 – 1950, tanda-tanda sindrom hiperaktif dikenali sebagai “minimal brain damage” dan “minimal brain dysfunction”. Selain itu, ia juga dikenali sebagai hiperaktif dan hiperkinesis. Selepas tahun 1987, ia mula dikenali sebagai attention deficit disorder untuk hiperaktif jenis inattentive dan ADHD untuk hyperaktif-impulsive. Namun, pada tahun 1994, American Psychiatric Association menukarkannya kepada attention deficit hyperactivity disorder (ADHD).

No comments:

Post a Comment