Wednesday 18 December 2013

Perbezaan bunyi distingtif dan bunyi tidak distingtif

Perbezaan bunyi distingtif dan bunyi tidak distingtif

Bunyi distingtif bermaksud membezakan makna kata. Sebagai contoh, [p] dan [b] dapat berbeza dari segi fitur [ + bersuara], kerana [b] bunyi bersuara, manakala [p] bunyi tak bersuara. Perbezaan dari segi bersuara dan tak bersuara ini membezakan fonem /b/ daripada fonem /p/.  Oleh sebab itu, dari segi pengeluaran, atau artikulasi, fitur [+ bersuara] menyebabkan /b/ tergolong kepada fonem yang berbeza daripada /p/ yang memiliki fitur [- bersuara]. Oleh sebab itu [+ bersuara] adalah fitur distingtif yang membezakan fonem /b/ [+ bersuara] daripada /p/ [- bersuara].
Perbezaan bunyi adalah terletak pada 3 faktor iaitu titik artikulasi, cara artikulasi dan status pita suara. Bunyi ini dinamakan fonem kerana bunyi-bunyi tersebut merupakan yang bersifat distingtif yakni sifat yang membezakan. Bunyi [p] misalnya dibezakan dari [b] contohnya ‘parang’ dengan ‘barang’, ‘pola’ dengan ‘bola’ dan sebagainya.
Jika ia mempunyai perbezaan makna ia disebut distingtif maka ia dianggap bertaraf fonem. Jika ia tidak mempunyai perbezaan makna maka ia tidak distingtif dan bunyi itu dianggap alofon.
1.1 Bunyi Distingtif
Distingtif adalah untuk membezakan antara satuan bahasa. Setiap bunyi yang dkaitkan fonem itu mempunyai ciri-ciri atau fitur-fitur yang membezakan daripada fonem lain. Ia dapat
membuat perbandingan bagi melihat persamaan atau perbezaan antara satu sama lain. Ini adalah untuk mempamerkan kualiti bunyi-bunyi tersebut dalam membezakan cara dan daerah sebutan bagi bunyi-bunyi tersebut.

1.1.1 Fonem
Fonem adalah kesatuan bunyi yang terkecil dan sistem bunyi-bunyi bahasa yang dapat berfungsi sebagai perbezaan makna. Dan fonem juga adalah  merupakan objek kajian dalam ilmu fonemik.

1.1.1 (i) Identifikasi Fonem

Untuk menentukan identiti bunyi fonem atau pun bukan, dapatkan pasangan terkecil perkataan atau pasangan minimal. Jika ia memberikan makna yang berbeza, maka dapat disimpulkan bunyi tersebut adalah fonem. Contohnya  pasangan minimal “talam” dengan “salam”. Keduanya memiliki bunyi yang hampir sama dan  jumlah hurufnya sama (lima bunyi). “Ternyata perbezaannya hanya pada bunyi “t” dan “s”. Maka dengan demikian, dapatlah disimpulkan bahwa bunyi “t” dan  “s” adalah fonem, kerana ia berfungsi dalam membezakan makna dan perlu diletakkan dalam kurungan fonem, iaitu / t / dan / s /.
1.1.2 Klasifikasi Fonem
Dalam kajian fonologi, fonem dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu; 
(i) fonem segmental dan
(ii) fonem suprasegmental.
(i) Fonem segmental
Maksud fonem segmental adalah vokal dan konsonan dalam fonologi ataupun fonem-fonem yang berupa bunyi yang didapati sebagai hasil segmentasi terhadap arus ujaran.  Maksud segmen pula adalah satuan bahasa yang diabstraksikan dari suatu teks, misalnya fon atau fonem sebagai suatu bunyi, morf atau morfem sebagai satuan gramatikal.
(ii) Fonem Supramental
Suprasegmental pula bermaksud, jalinan atau susunan bunyi yang dapat membezakan erti suatu kata dengan kata yang lain. Di antara cirinya ialah sifat bunyi yang menindih atau
menumpangi sesuatu fonem. Ianya bermaksud ciri suprasegmental hadir bersama-sama
fonem penggalan dengan cara menumpangi bunyi segmental.

Terdapat lima jenis ciri-ciri suprasegmental iaitu :
a) Tekanan
b) Nada
c) Jeda
d) Intonasi
e) Panjang-pendek



1.2 Bunyi tidak distingtif
Jika ia tidak mempunyai perbezaan makna maka ia tidak distingtif dan bunyi itu dianggap alofon.
1.2.1 Alofon
Alofon pula merupakan anggota-anggota kepada satu fonem. Alofon merupakan bunyi yang berlainan tetapi masih tergolong dalam satu fonem. Dengan kata lain, alofan merupakan bunyi-bunyi kelainan yang tergolong kepada kelas fonem yang sama, dan dengan sendirinya
merupakan anggota kepada keluarga fonem tersebut Kelainan bunyi dalam satu fonem ini terjadi akibat terpengaruh oleh bunyi terdahulu atau bunyi yang terkemudian daripadanya. Contohnya fonem /k/ dalam bahasa melayu mempunyai beberapa perbezaan bunyi atau alofon kerana pengaruh bunyi dari sekitarnya. Misalnya alofon k, kʷ dan ˀ. Bunyi alofon k terjadi dari perkataan kari (iaitu k yang diikuti oleh vokal depan a). Manakala bunyi kʷ terjadi daripada perkataan kuat iaitu k yang diikuti oleh vokal belakang u). Bunyi ˀ terjadi kerana kerana kehadirannya diakhiri oleh kata dalam suku kata tertutup iaitu perkataan budaˀ.

Bunyi k, kʷ dan ˀ adalah alofon daripada keluarga bunyi yang sama iaitu fonem /k/. Bunyinya mempunyai persamaan fonetik iaitu hampir sama dari segi pengucapannya dan penghasilannya. Ketiga-tiga bunyi tersebut saling melengkapi dan menduduki tempat masing-masing dalam bahasa Melayu.
Alofon juga boleh difahami sebagai fonem yang terdiri daripada anggota fonem. Contohnya fonem p dalam perkataan pasu sebagai satu letupan yang sempurna. Bagi perkataan suap bunyi p adalah sebagai letupan bibir yang tidak sempurna iaitu ianya tidak diletupkan. Ini menunjukkan fonem p mempunyai dua alofon.
Alofon juga terhasil daripada bunyi yang bervariasi bebas yang membawa maksud walaupun bunyi-bunyi itu berbeza dalam perkataan tertentu. Contohnya perkataan:
(i) ugama, igama dan ugama
(ii) fikir dan pikir

(iii) faham dan paham
                                        


Perbezaan Bunyi Nasal dan Bunyi Oral


Perbezaan Bunyi nasal dan bunyi oral
Terdapat perbezaan bunyi nasal dan bunyi oral iaitu:
i. Udara yang keluar melalui rongga hidung dengan cara menurunkan langit-langit lembut beserta hujung anak tekak, maka ia menghasilkan bunyi nasal. Manakala bunyi oral pula disebabkan langit-langit lembut beserta hujung anak tekak menaik menutupi rongga hidung sehingga udara hanya melalui rongga mulut.
 ii.Udara keluar melalui rongga hidung dapat menghasilkan konsonan nasal iaitu m, n, ñ, dan η. Konsonan oral pula ialah udara keluar melalui rongga mulut dan menghasilkan konsonan p, t, c, k, ?, b, d, j, g, f, Š, x, h, r, l, w, dan y.
iii. Vokal nasal banyak terdapat dalam dialek Kelantan dan bahasa Acheh misalnya [ã, ȇ , ũ, ĩ],
Vokal Dinasalkan
Vokal yang dinasalkan ialah vokal yang dikeluarkan melalui rongga oral dan nasal. Daerah artikulasi yang terlibat adalah bahagian lelangit lembut, anak tekak dan rongga hidung. Apabila rongga hidung tidak tertutup rapat, udara akan keluar dari kedua-dua rongga hidung dan mulut.
Contoh vokal sengau ialah [mãkan], [mãndi]. [ɲawa], [mãhal], [jumã?ãt]

Penghasilan konsonan nasal
Penutupan arus udara dari keluar ke rongga mulut dapat menghasilkan :  
a.   Antara kedua bibir, misalnya bunyi (m)
Bibir bawah dan bibir atas dirapatkan untuk membuat sekatan pada arus udara. Lelangit lembut dan anak tekak diturunkan untuk memberi laluan arus udara dari paru-paru ke rongga hidung. Arus udara dari paru-paru masuk ke rongga mulut dan terus ke rongga hidung. Pita suara dirapatkan untukmembuat getaran. Arus udara dilepaskan perlahan-lahan.

b.      Antara hujung lidah dan ceruk, hasilnya bunyi (n)
Hujung lidah dinaikkan pada gusi atau gigi gusi untuk membuat sekatan arus udara. Lelangit lembut dan anak tekak diturunkan untuk memberikan laluan arus udara dari paru-paru ke rongga hidung. Arus udara dari paru-paru melalui rongga mulut terus ke rongga hidung. Arus udara dilepaskan perlahan-lahan. Bunyi yang dihasilkan ialah konsonan sengau gusi bersuara (n).

c.       Antara pangkal lidah dan langit-langit lunak, hasilnya bunyi (ŋ)
Konsonan sengau lelangit lembut bersuara dihasilkan dengan cara belakang lidah dirapatkan dengan ke lelangit lembut untuk membuat sekatan arus udara. Lelangit lembut dan anak tekak diturunkan untuk memberikan laluan arus udara yang terkeluar dari paru-paru ke rongga hidung. Arus udara yang tersekat oleh belakang lidah dan lelangit lembut di lepaskan perlahan-lahan.

d.      Antara hujung lidah dan langt-langit keras, hasilnya bunyi (ň)
Depan lidah dinaikkan ke lelangit keras untuk membuat sekatan arus udara. Lelangit lembut dan anak tekak diturunkan untuk memberikan laluan arus udara yang keluar dari paru-paru masuk ke rongga hidung. Pita suara dirapatkan dan digetarkan. Arus udara daripada paru-paru melalui rongga mulut terus ke rongga hidung. Udara yang tersekat oleh depan lidah dan lelangit keras dilepaskan perlahan-lahan.

Bunyi Oral
Bunyi oral dihasilkan dengan cara mengangkat hujung anak tekak mendekati langit-langit lembut untuk menutupi rongga hidung sehingga arus udara dari paru-paru keluar melalui mulut. Selain bunyi nasal, semua bunyi vokal dan konsonan  termasuk bunyi oral. Contoh bunyi oral seperti:
a) Dua konsonan letupan dua bibir bersuara dan tidak bersuara ( p, b ).
b) Dua konsonan letupan gusi bersuara dan tidak bersuara ( t, d ).
c) Dua konsonan letupan lelangit lembut bersuara dan tidak bersuara ( k, g ).
d) Satu konsonan hentian glotis. ( ? )
e) Dua konsonan letusan bersuara dan tidak bersuara ( č , ĵ )
f) Dua konsonan geseran tidak bersuara, iaitu geseran gusi tidak bersuara ( s) dan geseran glotis bersuara ( h ).
g) Satu konsonan getaran bersuara ( r ).

h) Satu konsonan sisian bersuara

Perbezaan bunyi vokal dan konsonan

1. Perbezaan Bunyi Vokal dan Bunyi Konsonan
Perbezaan yang didapati antara bunyi vokal dan bunyi konsonan ialah:
 i.Semua bunyi vokal merupakan bunyi-bunyi bersuara, manakala bunyi konsonan ada yang bersuara dan ada yang tidak bersuara.
ii. Bunyi-bunyi vokal dapat didengar lebih jelas dan lebih panjang daripada bunyi-bunyi konsonan.
iii. Bunyi vokal adalah bunyi yang dihasilkan oleh alat artikulasi dengan udara keluar secara terus menerus tanpa sekatan atau gangguan oleh alatartikulasi. Bunyi konsonan pula terdapat gangguan atau halangan oleh alat artikulasi.

Bunyi vokal
Vokal ialah bunyi-bunyi bersuara, dan apabila membunyikannya udara dari paru-paru keluar melalui rongga mulut tanpa sekatan dan gangguan. Bunyi-bunyi vokal mempunyai ciri-ciri kelantangan dan kepanjangan. Ia terhasil apabila udara dari paru-paru keluar melalui rongga mulut tanpa tersekat atau terhimpit. Bunyi tersebut hanya dipengaruhi oleh keadaan lidah dan bentuk bibir. Bunyi-bunyi vokal dalam bahasa Melayu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
     i. Vokal hadapan
     ii. Vokal tengah
     iii. Vokal belakang

Keratan rentas lidah bunyi vokal
 Dari segi tulisan dan penyebutan standard, vokal bahasa Melayu terbahagi kepada enam jenis, tetapi di dalam pertuturan, terdapat sembilan jenis vokal yang sering dihasilkan.
(i) Vokal Hadapan
Vokal hadapan ialah bunyi [ a] , [ i ] ,[ Ɛ ] , dan [ a ]. Daerah artikulasi yang terlibat dalam menghasilkan bunyi ini ialah lelangit keras. Manakala alat artikulasi yang terlibat dalam membunyikannya ialah lidah, bibir dan saiz rongga mulut. Vokal hadapan dibahagikan kepada empat bahagian iaitu vokal hadapan sempit [ i ] , vokal hadapan separuh sempit [ e ] , vokal hadapan luas [ a ] , dan vokal hadapan separuh luas [ Ɛ ].
(ii) Vokal Depan Sempit [i]
Semasa menghasilkan vokal ini bibir dihamparkan, depan lidah hendaklah dinaikkan tinggi tetapi jangan menyentuh lelangit keras. Manakala lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan untuk menutup rongga hidung. Pita suara pula haruslah dirapatkan supaya udara yang keluar boleh menggetarkan selaput suara.
Vokal Tengah
(i) Vokal Tengah [ǝ]
Alat artikulasi yang berperanan dalam penghasilan vokal tengah ialah bahagian tengah lidah. Keadaan bibir adalah hampar. Tengah lidah dinaikkan sedikit ke arah lelangit keras. Lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan supaya udara tidak dapat keluar melalui rongga hidung. Pita suara dirapatkan supaya udara yang keluar dari paru-paru dapat menggetarkan pita suara. Justeru, terhasillah bunyi [ǝ].
Vokal Belakang
Sewaktu penghasilan vokal belakang, alat artiklasi penting yang berperanan ialah bahagian belakang lidah. Keadaan bibir adalah bundar. Vokal belakang terdiri daripada:
i. Vokal Belakang Sempit (tinggi) [u]
Semasa menghasilkan bunyi vokal belakang sempit, bibir dibundarkan, belakang lidah dinaikkan ke arah lelangit lembut bagi  menutup rongga hidung dan udara keluar melalui paru-paru dan menggetarkan pita suara ke rongga mulut.
ii. Vokal Belakang Separuh Sempit (Separuh Tinggi) [o]
Vokal ini boleh dihasilkan dengan cara bibir dibundarkan, belakang lidah dinaikkan separuh tinggi ke arah lelangit lembut supaya udara tidak keluar melalui rongga hidung. Pita suara dirapatkan supaya udara dari paru-paru dapat menggetarkan pita suara dan dapat menghasilkan vokal [o].


iii. Vokal Belakang Separuh Luas (Separuh Rendah) [ɔ]
Bunyi vokal [ɔ] terhasil apabila bibir dibundarkan, belakang lidah dinaikkan separuh rendah ke arah lelangit lembut dan anaka tekak dinaikkan ke rongga hidung supaya udara tidak dapat keluar melaluinya. Pita suara dirapatkan supaya udara dari paru-paru dapat menggetarkannya dan dapat menghasilkan bunyi vokal [ɔ].
Bunyi Konsonan
Bunyi konsonan ialah bunyi bahasa selain daripada bunyi vokal. Bunyi konsonan ini terhasil daripada gangguan bahagian alat artikulasi.
             (i) Konsonan Letupan Dua Bibir
               - Konsonan [p] dan [b].

Penghasilan konsonan [p] adalah dari letupan dua bibir tak bersuara kerana pita suara tidak bergetar. Konsonan [b] pula adalah letupan dua bibir bersuara kerana pita suara bergetar.Kedua-dua konsonan ini terhasil apabila lelangit lembut dinaikkan dan bibir dirapatkan. Udara pula tersekat pada dua bibir dan udara dipaksa keluar.
(ii) Konsonan Letupan Gusi
- Letupan Gusi Tidak Bersuara [t] dan Letupan Gusi Bersuara [d]
Konsonan [t] dan [d] dihasilkan apabila udara disekat dengan merapatkan dua bibir atau mengenakan hujung lidah pada gusi, lelangit lembut dinaikkan dan udara tertahan. Jika proses sekatan ini dilepaskan, maka terhasillah bunyi [t] iaitu letupan gusi tak bersuara. Manakala bunyi [d] terhasil apabila pita suara digetarkan iaitu bunyi letupan gusi bersuara.
(iii) Letupan Lelangit Lembut
-Letupan Lelangit Lembut Tidak Bersuara [k]
- Letupan Lelangit Lembut Bersuara [g]
Bunyi [k] terhasil apabila belakang lidah dirapatkan ke lelangit lembut untuk menyekat arus udara. Bunyi [k] adalah letupan lelangit lembut tak bersuara. Bunyi [g] pula ialah letupan lelangit lembut bersuara. Ia terhasil apabila pita suara dirapatkan dan arus udara keluar melalui rongga mulut menggetarkan pita suara.
(iv) Hentian Glotis [ɂ]
Hentian glotis terhasil apabila lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan ke dinding rongga tekak bagi membuat sekatan udara ke rongga hidung. Pita suara tidak bergetar kerana ia dirapatkan dan arus udara keluar dari peparu tersekat pada bahagian rapatan pita suara. Rapatan itu kemudiannya dilepaskan serta merta tanpa menggetarkan pita suara. Justeru terhasillah bunyi hentian glotis. Hentian glotis diakhir perkataan-perkataan yang dieja dengan huruf  k, misalnya:
[budaˀ]
[kapaˀ]

(v) Konsonan Letusan
Konsonan letusan dihasilkan dengan membuat sekatan antara alat artikulasi dengan daerah artikulasi. Pertemuan antara alat artikulasi dengan daerah alat artikulasi ini menyekat arus udara dari paru-paru. Kemudian, sekata ini dilepaskan perlahan-lahan, menghasilkan letusan. Dalam bahasa Melayu, terdapat hanya sepasang konsonan letusan, iaitu letusan lelangit keras tidak bersuara [č] dan letusan lelangit keras bersuara [ǰ].
    (iv) Konsonan Geseran
            Konsonan geseran  dihasilkan dengan membuat sempitan antara alat artikulasi.rus udara dari paru-paru dapat keluar antara sempitan ini dan bergeser. Dalam bahasa Melayu terdapat dua konsonan geseran asli, iaitu konsonan geseren gusi tidak bersuara [s] dan konsonan geseran glotis [h].
Geseran Gusi Tidak Bersuara [s] dan geseran glotis Bersuara [h] dihasilkan dengan cara pita suara direnggangkan sedikit, lelangit lembut dan anak tekak dinaikkan dan dirapatkan pada dinding tekak bagi menutup udara keluar dari rongga hidung. Geseran Gusi Tidak Bersuara [s] dihasilkan melalui udara yang keluar dari paru-paru  dengan menggeser melalui sempitan pada daerah gusi dan pita suara tidak digetarkan. Manakala geseran glotis Bersuara [h] pula dihasilkan melalui udara yang keluar dari paru-paru  dengan menggeser sempitan glotis dan pita suara digetarkan.
v. Getaran Gusi Bersuara [r]
Konsonan [r]- bunyinya terhasil apabila hujung lidah diletakkan di gusi sehingga udara dapat melalui antara lidah dan juga gusi. Lidah pula akan bergetar manakala lelangit lembut pada waktu iti dinaikkan. Pita suara dirapatkan. Bunyi [r] dinamakan sebagai bunyi getaran gusi bersuara.

Sisian Gusi Bersuara [l]
Bunyi [l] dihasilkan apabila lidah dinaikkan ke gusi dan laluan udara tersekat. Lelangit lembut dinaikkan dan dirapatkan ke dinding tekak untuk menutup rongga hidung  Pita suara pula digetarkan semasa udara kelauar dari paru-paru ke rongga mulut melalui sisian atau tepian.
Konsonan Sengauan
Konsonan Sengauan Dua Bibir Bersuara [m]
Konsanan [m] dihasilkan apabila bibir bawah dirapatkan pada bibir atas, lelangit lembut dan anak tekak diturunkan, pita suara dirapatkan. Udara dariparu-paru memasuki rongga mulut dan kelar melalui rongga hidung dan pita suara digetarkan.

iv Sengau Gusi Bersuara [n]

Konsonan [n] dihasilkan apabila hujung lidah dinaikkan pada gusi untuk membuat sekatan arus udara. Lelangit lembut dan anak tekak diturunkan. Pita suara dirapatkan untuk membuat getaran. Arus udara dilepaskan perlahan-lahan dari paru-paru melalui rongga mulut terus ke rongga hidung.
Sengau Lelangit Keras-Gusi Bersuara [ɲ]
Konsanan [ɲ] dihasilkan apabila depan lidah dinaikkan ke lelangit keras untuk membuat sekatan arus udara. Lelangit lembut dan anak tekak diturunkan untuk memberikan laluan arus udara yang keluar dari paru-paru ke rongga hidung. Pita suara dirapatkan dan digetarkan. Udara yang tersekat oleh depan lidah dan lelangit keras dilepaskan perlahan-lahan.
Sengau Lelangit Lembut Bersuara [ŋ]

Konsonan [ŋ] dihasilkan apabila belakang lidah dinaikkan ke lelangit lembut untuk menyekat udara yang keluar ke rongga mulut. Pita suara dirapatkan dan digetarkan. Arus udara dari paru-paru melalui rongga mulut dan terus ke rongga hidung dan dilepaskan perlahan-lahan.
Sengau Lelangit Lembut Bersuara [ŋ]

Konsonan [ŋ] dihasilkan apabila belakang lidah dinaikkan ke lelangit lembut untuk menyekat udara yang keluar ke rongga mulut. Pita suara dirapatkan dan digetarkan. Arus udara dari paru-paru melalui rongga mulut dan terus ke rongga hidung dan dilepaskan perlahan-lahan.

Letusan Lelangit Keras Bersuara [j]
Konsonan [j] terhasil apabila depan lidah diangkat tinggi ke arah gusi seperti hendak menyebut huruf [i] tetapi bergerak kepada vokal tengah [ǝ]. Bibir dihamparkan. Lelangit lembut dinaikkan ke belakang rongga tekak untuk menyekat arus udara dari paru-paru ke rongga hidung.



Perbezaan Transkripsi fonetik dan fonemi

Huraikan perbezaan dan persamaan antara transkripsi fonetik dengan transkripsi fonemik.
Pengenalan Transkripsi
Transkripsi adalah penurunan lambang-lambang bunyi daripada lambang tulisan yang mencatat sesuatu dalam kehidupan.Transkripsi ialah penulisan dalam bentuk lambang-lambang fonetik daripada lambang-lambang tulisan huruf-huruf biasa. Semua lambang dapat dipakai bagi merakamkan bunyi secara bertulis. Hanya setelah bunyi-bunyi ini terakam dalam bentuk lambang barulah bunyi tersebut dapat dianalisa. Menurut Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah Lo Abdullah,( 2007), transkripsi juga menurunkan lambang-lambang bunyi sebutan ke dalam bentuk lambang-lambang fonetik setepat mungkin mengikut sebutan sebenar penutur sesuatu bahasa.
Proses catatan pertukaran transkripsi adalah dalam bentuk tulisan dengan menggunakan satu sistem tanda graf. Penggunaan abjab transkripsi ditentukan oleh International Phonetics Association (IPA).

Kepentingan transkripsi
(i) Transkripsi dapat membantu orang lain menyebut perkataan dengan bunyi yang betul.
(ii) Ia juga dapat membantu pelajar membebaskan diri daripada ikatan ejaan dan dapat menumpukan perhatian kepada keaslian bunyi fonetik.
(iii) Penghasilan sebenar bunyi yang disebabkan ciri-ciri bunyi seperti tekanan dapat membezakan pengertiannnya.
(iv) Transkripsi membantu membentuk atau mencipta keharmonian yang setepat mungkin di antara teks dan bunyi.
(v) Bertujuan mengubah fonem kepada bentuk tulisan dan dapat dibaca dengan tepat.

Terdapat dua jenis transkripsi dalam bahasa Melayu iaitu transkripsi fonetik dan transkripsi fonemik.Transkripsi fonetik dikenali sebagai transkripsi sempit dan transkripsi fonemik dikenali sebagai transkripsi luas.

Transkripsi fonetik

Transkripsi fonetik bermaksud satu cara merakamkan bunyi-bunyi bahasa dengan menggunakan lambang-lambang fonetik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dalam transkripsi fonetik pengkaji berusaha memberi lambang fonetik secara sangat terperinci dengan bunyi yang diucapkan atau tulisan yang dipindahkan ke dalam transkripsi fonetik tersebut. Transkripsi fonetik juga digunakan oleh pengkaji dialek. Lambang fonetik di tulis dalam kurungan [ ].
Terdapat pelbagai lambang dalam transkripsi fonetik ini. Sebagai contoh, lambang pembibiran [w], penyegauan (nasalisasi) [ ~ ], perengkungan [L, d, z ], penglelangitkerasan [j] dan pengglotisan [ˀ]. Dalam transkripsi fonetik terdapat segala bunyi segmental, jenis koartikulasi dan juga ciri-ciri suprasegmental yang ditumpangi oleh perkataan atau ayat dalam transkripsi ini. Oleh itu, transkripsi bertujuan untuk mencatatkan setepat mungkin semua sifat yang terdapat pada pengucapan seseorang penutur yang natif. Walau bagaimanapun, tidak semua bunyi koartikulasi wujud dalam bahasa Melayu (Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah Lo Abdullah, 2007)

6.2 Transkripsi Fonemik 
Transkripsi fonemik juga dikenali sebagai transkripsi luas. Dalam transkripsi fonemik tiada koartikulasi. Oleh itu, transkripsi fonemik adalah berbeza dengan transkripsi fonetik kerana transkrispi fonemik tidak menggunakan ciri-ciri koartikulasi atau ciri-ciri suprasegmental seperti dalam transkripsi fonetik. Transkripsi fonemik hanya bertujuan untuk memberikan lambang-lambang bunyi dengan mudah dalam bentuk lambang bunyi segmental sahaja. Transkripsi fonemik mencatatkan bunyi-bunyi bahasa dengan mengelompokan fonem-fonem yang terdapat dalam sesuatu bahasa itu dengan mudah dan secara umum.
Ia lebih ditumpukan transkripsi dalam bentuk tulisan.Contohnya seperti berikut:

Fonem adalah bunyi bahasa yang memberikan perbezaan erti. Contohnya kata baru dan balu, bunyinya hampir sama tetapi yang membezakan antara keduanya ialah fonem [r] dan [l]. Maka /l/ dan /r/ adalah fonem.
Fonem adalah unit bahasa yang terkecil yang berfungsi. Ia merupakan unit yang bermakna dan terdiri daripada beberapa unit bunyi. Contohnya perkataan malu terdiri daripada empat unit bunyi iaitu m,a,l,u. Unit kecil inilah yang dikatakan sebagai fonem. Fonem dan transkripsinya hendaklah diletakkan dalam kurungan / /.

Jadual ini menunjukkan perbezaan dan persamaan antara transkripsi fonetik dan transkripsi fonemik.
Tulisan Rumi
Transkripsi fonetik
Transkripsi fonemik
Percaya
[#pǝrčaja#]
/#pǝrčaja#/
Ialah
[#ijalah#]
/ijlah#/
Yang
[#jaŋ#]
/#jaŋ#/
Untuk
[#unwtoɂ#]
/#untoɂ#/
Melalui
[#mǝlaluwi#]
/#mǝlalui#/
Juga
[#ᴡǰuga#]
/#ǰuga#/
Saya
[#saja#]
/#saja#/


Contoh Ayat Tulisan rumi

i) Emak pergi ke pasar.

ii) Buku itu di atas meja.
iii) Kucing itu kelaparan.

Contoh Transkripsi Fonetik
i) [#ǝmaɂ pǝrgi kǝ pasar#]
ii) [#buwku iwtu di atas meǰa#]
iii) [#kuciŋ iwtu kǝlaparan#]

Contoh trankripsi Fonemik
i) /#ǝmaɂ pǝrgi kǝ pasar#/
ii) /#buku itu di atas meǰa#/
iii) /#kuciŋ itu kelaparan#/

 Perbezaan transkripsi fonetik dan fonemik
i.Transkripsi fonemik kurang menggunakan lambang dan tanda diakritik. Tujuannya adalah untuk menghasilkan persembahan yang tidak taksa dalam bentuk penyebutan. Tanda / / digunakan dalam transkripsi fonemik.
ii.Transkripsi fonetik pula menggunakan lambang yang lebih khusus. Ia juga sesuai digunakan dalam semua bahasa. Lambang-lambang dan tanda diakritik digunakan dengan menggunakan kurungan [ ].
iii. Dalam transkripsi fonetik, mesti terdapat alat artikulasi tambahan, manakala transkripsi fonemik tiada alat artikulasi tambahan.
iv. Transkripsi fonetik boleh digunakan dalam dalam apa jua bahasa dan boleh digunakan bagi siri bunyi ujaran yang sengaja dibentuk bagi latihan pendengaran fonetik manakala transkripsi fonemik boleh digunakan sebagai asas bagi semua bahasa.
v. Perbezaan di antara sistem abjad (penulisan) dengan penghasilan sebenar bunyi. Ini disebabkan ciri-ciri bunyi seperti tekanan yang membawa pengertian yang berbeza.

 Persamaan antara transkripsi fonetik dan transkripsi fonemik

Persamaan di antara  kedua-dua transkripsi ini tidak menggunakan semua tanda baca dalam bahasa.

Kontrak Perkongsian Keuntungan

Kontrak Perkongsian Keuntungan
Kontrak Perkongsian Keuntungan boleh dibahagikan kepada dua (2) contoh Kontrak Musyarakah (Perkongsian) dan Kontrak Mudharabah.  Musyarakah menandakan percampuran saham pihak yang berkepentingan sehingga tidak dapat dibezakan antara satu dengan yang lain.  Oleh itu perkongsian membawa maksud perhubungan yang wujud di antara dua pihak dalam kontrak itu, walaupun tidak semestinya berlaku percampuran saham.  Manakala Mudharabah bermaksud persetujuan atau perancangan perniagaan di mana satu pihak menyediakan modal dan satu pihak lagi menyediakan pekerja atau kerja. 
Mudharabah
Definisi
Mudharabah bermaksud perkongsian keuntungan dimana satu pihak menyediakan modal (rabbul mal atau shahibul mal) dan pihak lain pula menyediakan pekerja (mudarib).
             Oleh itu kita boleh definisikannya sebagai kontrak perkongsian antara rabbul mal dan mudarib      di mana rabbul mal menyediakan modal kepada mudarib untuk melabur dalam perniagaan (enterprise) dan mudarib pula akan menggunakan kemahiran, pekerja dan usahanya.  Kedua pihak tadi akan berkongsi keuntungan berdasar nisbah yang telah dipersetujui.  Jika berlaku kerugian ianya akan ditanggung keseluruhannya oleh rabbul mal kecuali jika berlaku pecah amanah seperti salahlaku, kecuaian atau pelanggaran ke atas syarat-syarat yang dipersetujui oleh mudarib.  Jika berlaku kerugian disebabkan salahlaku mudaribi, maka mudarib akan dipertanggungjawabkan. 
             Dalam konteks perbankan Islam, bank Islam boleh memasuki 2 tingkat (two tier) perjanjian mudharabah.  (i) Tingkat pertama (first tier) berlaku perjanjian di antara pihak bank dengan penyimpan yang bersetuju menyimpan duit dalam akaun pelaburan bank dan berkongsi keuntungan.  Dalam kes ini penyimpan merupakan pemodal dan bank pula berfungsi sebagai pengurus dana.  (ii) Tingkat kedua (second tier) pula merupakan perjanjian antara bank dan usahawan yang memerlukan pinjaman kewangan dari bank dengan syarat keuntungan perniagaan akan dikongsikan bersama dengan bank pada kadar yang telah dipersetujui terlebih dahulu. Jika berlaku kerugian, ianya akan ditanggung oleh pihak bank (financier).
             Dalam kes ini bank berfungsi sebagai penyedia modal dan usahawan bertindak sebagai pengurus.  Sekiranya terdapat lebih dari satu pemberi pinjaman (financier) dalam projek yang sama (beberapa bank memberikan pinjaman) keuntungan akan dikongsi dalam kadar yang dipersetujui bersama, kerugian perlu dikongsi pada kadar jumlah modal yang telah dilaburkan oleh bank-bank (financier).
Asas Mudharabah
Mudharabah (perkongsian keuntungan) dibenarkan dalam Islam sebagaimana firman Allah dalam ayat 20: surah Al-Muzammil:
“....dan orang-orang yang lain (yang) mereka berjalan/berpergian di (muka) bumi Allah mereka mencari (dengan berdagang dll.) (sebagian) dari kurnia/rezeki Allah.”
Surah ini ditafsirkan bermaksud seseorang yang berjalan dengan tujuan perniagaan dan mencari pendapatan yang dibenarkan oleh Islam untuk diri sendiri dan keluarganya.
Dalam hadis menyokong perkara yang sama:
“Ibn Abas telah membayar wang untuk mudharabah dan menyatakan kepada mudarib bahawa dia tidak boleh belayar melalui laut, melintasi lembah atau menukar beli ternakan, dan mudarib adalah bertanggungjawab bagi sekiranya berlaku kerugian.  Syarat ini telah dibawa kehadapan Rasullah S.A.W dan baginda bersetuju” (Disampaikan oleh Bayhaqi no. 6/111).
Dalam hadis yang lain:
“Umar Ibn al-Khatab memberi dana yang dimiliki oleh anak yatim kepada seorang lelaki untuk tujuan mudharabah dan lelaki itu berdagang menggunakan dana di Iraq” Riwayat al-Bayhaqi dalam al-Ma’rifah.
Rasionalnya Allah membenarkan mudharabah meliputi perkara berikut:
i)    Wang tidak boleh mencipta wang kecuali ianya dikaitkan dengan keusahawanan.  Oleh itu mudharabah dihasilkan dengan gabungan wang dan keusahawanan.  Sebarang keuntungan yang didapati oleh mudarib dibenarkan oleh syariah.
ii)   Urusan jual beli mudharabah dibolehkan untuk memudahkan kerjasama pelaburan antara rabbul mal dan mudarib yang memerlukan modal.
Dalam lain perkataan terdapat sebilangan individu yang mempunyai wang tetapi tidak mempunyai kemahiran dalam perniagaan atau pelaburan.  Ada juga yang mempunyai perniagaan atau pelaburan tetapi kekurangan modal.  Oleh itu keadaan seperti ini memerlukan kontrak mudharabah untuk menggabungkan kedua belah pihak iaitu rabbul mal dan mudarib.

Jenis-jenis Mudharabah
Terdapat 2 jenis Mudharabah:
i)          Mudharabah terhad
ii)         Mudharabah tanpa had

Mudharabah terhad:
Mudharabah jenis ini merupakan kontrak di mana rabbul mal menghadkan tindakan mudarib pada sesuatu tempoh tertentu. Kontrak mudharabah akan tamat apabila tempoh yang ditetapkan itu telah  tiba.  Mudarib juga disyaratkan untuk menjalankan perniagaan di lokasi atau jenis-jenis perniagaan yang telah ditetapkan oleh rabbul mal.  Di bawah kontrak mudharabah terhad ini rabbul mal menganggapnya sebagai wajar atau sesuai bagi mudarib tetapi tidaklah sampai mengekang perjalanan perniagaan mudarib. 
Mudharabah tanpa had:
Merupakan kontrak di mana rabbul mal membenarkan mudarib menggunakan dana mudharabah tanpa sebarang sekatan.  Dalam kes ini biasanya mudarib mempunyai pelbagai pilihan perniagaan berdasarkan kepada kepercayaan dan kepakaran perniagaan yang dimilikinya.  Perniagaan ini dijalankan bersesuaian dengan kepentingan pihak-pihak yang terlibat dalam projek yang dijalankan dan objektif asal projek mudharabah untuk membuat keuntungan.
Pelaburan Antara Bank Mudharabah (Mudharabah Interbank Investments – MII) merujuk kepada satu mekanisme di mana Institusi Pelaburan Bank Islam defisit (deficit Islamic Investement Bank) ‘investee bank’ boleh mendapat pelaburan dari lebihan dana Institusi Bank Islam ‘investor bank’ berasaskan kepada mudharabah.  Tempoh pelaburan samada semalaman (overnight) atau 12 bulan.  Kadar pulangan pula berdasarkan kepada Nisbah keuntungan kasar sebelum pengagihan pelaburan selama setahun oleh ‘investee bank’.  Nisbah Perkongsian keuntungan boleh dibincang di antara kedua-dua belah pihak.  Pihak bank pelabur (investor bank) tidak mengetahui jumlah keuntungan yang akan diperlolehi kerana pulangan sebenar hanya dapat ditentukan selepas tamat tempoh pelaburan selama setahun itu.  Pelaburan pokok (principal investment) perlu dibayar pada akhir tempoh pelaburan beserta dengan keuntungan dari penggunaan dana oleh ‘investee bank’.  Sekiranya pihak mudarib hendak membuat kerja-kerja yang melampaui norma bisnes yang biasa dibuat, maka dia perlu mendapat keizinan dari rabbul mal terlebih dahulu.  Dia juga tidak dibenarkan mendapat rakan kongsi (mudarib) yang lain tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran atau keizinan dari rabbul mal. 
             Dalam operasi harian biasa, bank Islam juga boleh menggunakan sebahagian akaun desposit mengikut asas mudharabah di mana pemegang akaun itu telah membenarkan bank Islam untuk melaburkan dana yang mana bank Islam beranggapan sesuai tanpa sebarang sekatan seperti               di mana dana akan dilaburkan, bagaimana dan untuk tujuan apa dana itu dilaburkan.  Di bawah perancangan ini juga pihak bank Islam boleh menggabungkan dana penyimpan mudharabah bersama dengan dana yang dimiliki oleh bank atau dana lain di mana pihak bank ada hak untuk menggunakannya seperti  dalam akaun simpanan Wadiah.
Terma dan Syarat-Syarat Kontrak Mudharabah
Terdapat beberapa terma dan syarat yang perlu dipenuhi oleh kedua-dua pihak seperti di bawah:
a) Pihak yang berkontrak
Mudharabah memberikan hak kepada pihak yang berkontrak berkongsi keuntungan manakala pertanggungjawaban ke atas kerugian pula ditanggung oleh peserta-peserta.
b)  Tawaran dan Terimaan
      Mudharabah mempunyai dua rukun iaitu tawaran dan terimaan.  Mudharabah dikira sah apabila kedua belah pihak menggunakan perkataan yang jelas menunjukkan kontrak mudharabah dalam tawaran dan terimaan tersebut.


c)   Modal
      Modal dalam perkongsian semestinya dalam nilai mata wang yang sebenar.  Ia hendaklah dalam bentuk sedia tunai dan bukan dalam bentuk hutang.
d)  Keuntungan
      Sebarang keuntungan hendaklah dikongsi antara rabbul mal dan mudarib menurut nisbah yang telah dipersetujui sementara kerugian ditanggung sepenuhnya oleh rabbul maal.
e)  Kerja/Pekerja
      Rabbul mal tiada hak untuk mengambil bahagian urusan yang dijalankan oleh mudarib.
Applikasi Moden Mudharabah
Sistem Kewangan Islam menerima deposit dari penyimpan dan sektor swasta di bawah kontrak mudharabah (perkongsian untung dan rugi).  Kontrak ini merupakan dasar kepada kedua-dua Akaun Pelaburan Am dan Akaun Pelaburan Khusus. 
Akaun Pelaburan Am – di bawah akaun ini projek tidak dijelaskan.  Nisbah pembahagian keuntungan biasanya telah ditetapkan terlebih dahulu.
Akaun Pelaburan Khusus - akaun pelaburan jenis ini menjelaskan projek yang dijalankan.  Nisbah pembahagian keuntungan pula biasanya melalui proses rundingan. 

Kontrak Mudharabah merupakan sejenis perkongsian di mana satu pihak menyediakan modal dan satu pihak lagi menyediakan tenaga kerja dan pengurusan.  Sepertimana dalam Sistem Kewangan Isla, pelanggan atau penyimpan merupakan pelabur yang menyediakan modal manakala bank pula bertindak sebagai pengurus yang menambah nilai modal kepada keuntungan.  Sekiranya ada keuntungan ianya akan dikongsi antara dua pihak berdasarkan kepada nisbah tertentu atau peratusan yang persetujui terlebih dahulu.  Walau bagaimanapun sekiranya berlaku sebarang  kerugian dalam pelaburan itu,  pelabur akan menanggung semua kerugian.  Pengurus dana pelaburan sebaliknya akan mengalami kerugian dari segi aspek masa yang terbuang, tenaga usaha dan kehilangan keuntungan yang sepatutnya diraih dari pelaburan.

Penggunaan kalkulator

Bolehkah murid-murid sekolah rendah digalakkan menggunakan kalkulator dalam penyelesaian Matematik. Bincangkan.
Sebelum zaman teknologi maklumat mula berkembang, guru terpaksa bergantung kepada kreativiti sendiri dalam mengendali dan melaksanakan teknik pengajaran yang berkesan di bilik darjah (Mohd Salleh, 2002). Namun, pada masa ini pelbagai alat elektronik termasuklah penggunaan kalkulator diintergrasi di sekolah bagi tujuan menjadikan pengajaran guru lebih berkesan.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan beberapa reformasi pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan kemampuan sistem pendidikan mencapai negara berteknologi maju pada masa hadapan.  Mesin kira atau kalkulator mula mengambil tempat dalam proses pembelajaran dan pengajaran bermula di peringkat matrikulasi dan universiti dan kini telah pun dijalankan di sekolah-sekolah menengah.
Menurut sejarah, kalkulator elektronik pertama mula dicipta pada tahun 1960-an, sementara peralatan bersejarah seperti sempoa dicipta sekitar 2000 SM. Kalkulator merupakan alat elektronik yang menggunakan teknologi moden untuk mendapatkan jawapan yang pantas dan tepat kepada empat operasi asas matematik termasuklah trigonometri, logaritma dan statistik.
Hasil daripada beberapa kajian seperti Schmidt dan Cailahan (1992), Cockcroft (1982) dan rencana-rencana yang membincangkan isu kalkulator, saya dapati banyak kebaikan dan juga keburukan dalam penggunaan kalkulator di sekolah rendah.
Kebaikan penggunaan kalkulator:
i.          Meningkatkan minat murid terhadap matematik
Pengunaan kalkulator akan memotivasikan murid-murid untuk mempelajari subjek matematik.  Ia memberansang dan meningkatkan lagi keupayaan murid-murid dalam meneroka subjek matematik.  Ia juga akan dapat meningkatkan minat murid, dan keyakinan diri kerana kalkulator membantu mereka dalam proses pembelajaran.
ii.    Murid dapat menguasai angka dan nilai nombor. Kalkulator membolehkan kanak-kanak mengira nombor sehingga angka yang lebih besar daripada angka juta dan billion yang jauh dari pengalaman asal mereka. Dengan ini memudahkan mereka berhadapan  dengan masyarakat sekeliling.
iii.    Murid-murid berpeluang membuat penerokaan dan aplikasi yang lebih mendalam tentang    topik-topik yang berkaitan. Murid menjadi lebih berani untuk meneroka lebih jauh dengan pengunaan aplikasi kalkulator.   Penggunaan kalkulator yang cepat dan tepat menjadikan murid-murid lebih agresif dalam meneroka subjek matematik. 

iv)   Keseronokan belajar
       Murid-murid biasanya beranggapan matematik merupakan matapelajaran yang susah dan membosankan.  Penggunaan kalkulator akan membantu menceriakan proses pembelajaran subjek matematik.  Murid tidak takut mencuba dan membuat salah kerana kalkulator memudahkan mereka dalam proses pembelajaran dan membantu menyelesaikan latihan dengan pantas.

Keburukan penggunaan kalkulator:
i)                 Sifat ambil mudah – penggunaan kalkulator memudahkan pengiraan campur, darab, tolak dan bahagi.  Ini akan mengakibatkan murid-murid selesa menggunakan kalkulator untuk membuat latihan matematik tanpa menguasai asas pengiraan dalam subjek matematik.  Ini akan memberikan kesan yang tidak baik dalam jangka panjang apabila murid-murid tidak mempunyai penguasaan dalam skil matermatik.

ii)    Kebergantungan kepada kalkulator – penggunaan kalkulator secara meluas akan mengakibatkan murid-murid terlalu bergantung kepada kalkulator.  Walaupun mereka boleh mendapatkan jawapan tetapi pada asasnya mereka tidak tahu bagaimana jawapan itu diperolehi kerana kalkulator telah mengirakan untuk mereka.  Keadaan ini akan mengakibatkan  mereka kehilangan idea untuk menyelesaikan masalah apabila berdepan dengan situasi yang sebegitu.

iii)     Malas berfikir – Pengunaan kalkulator mempercepatkan proses pengiraan dan memendekkan masa untuk berfikir.  Tetapi disebalik kenyataan itu risikonya murid-murid menjadi malas untuk berfikir walaupun berdepan dengan soalan mudah yang tidak memerlukan penggunaan kalkulator.   Kemalasan untuk berfikir kerana tidak mempunyai keupayaan untuk membuat ‘mental arithmatic’ kerana pengunaan kalkulator telah mengakibatkan mereka lemah dalam asas matematik dan kurang upaya dalam menggunakan mental dalam mencongak. Kalkulator hanyalah sebagai alat dalam proses pembelajaran. Ini dapat dibuktikan dalam ‘Youtube’, https://www.youtube.com/watch?v=PEbd3bUURWU yang membuktikan mental arithmetic telah dapat mengatasi kepantasan kalkulator.

iv) Penipuan – ini berlaku apabila murid menggunakan kalkulator canggih berbagai fungsi selain dari campur, darab, tolak dan bahagi.  Setengah dari kalkulator boleh menyimpan pelbagai maklumat seperti nota, formula yang boleh digunakan untuk menipu semasa peperiksaan atau ujian.  Tanpa polisi yang jelas dalam mengawal penggunaan kalkulator menyebabkan masaalah ini sukar dibendung.

            Kesimpulannya penggunaan kalkulator tidak sesuai digunakan di sekolah rendah tahap satu kerana kanak-kanak ini perlu didedahkan kemahiran asas terlebih dahulu. Mereka juga perlu diberi peluang untuk meneroka dan mengaitkan matematik dengan keadaan sekeliling supaya mereka dapat berfikir secara kritis dan kreatif.
       Pemikiran mereka juga perlu diseimbangkan iaitu penggunaan otak kiri dan otak kanan sebagaimana teori Split-Brain yang menggalakkan kanak-kanak meneroka dan berfikir secara kreatif.  Dalam alaf teknologi ini, guru perlu mengubah kaedah mengajar yang diamalkan sebelum ini. Guru terlalu bergantung kepada teknologi dan kurang kepada konsep matematik.

Penggunaan kalkulator asas sesuai digunakan kepada murid-murid yang berada di tahap dua iaitu Tahun 4, 5 dan 6 yang telah diperkukuhkan dengan kemahiran asas. Kajian yang menyeluruh dan kaedah terancang perlu diberi penekanan supaya tidak berlaku kepincangan.