Sunday 6 October 2013

Mesin siklostil

Mesin siklostil
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002: 1278) Mesin siklostil ialah sejenis mesin pendua yang menggunakan stensil untuk menghasilkan banyak salinan.
Zaman persekolahan saya dahulu di antara tahun 1974-1984, saya biasa melihat mesin siklostil yang digunakan oleh guru-guru untuk membuat soalan peperiksaan.  Kiranya canggihlah mesin itu di zaman itu. Mesin itu ibarat mesin photostate di waktu sekarang tetapi sebelum menggunakannya ada lagi beberapa proses yang perlu dilakukan.

Saya menjawat jawatan guru semenjak tahun 1989. Pada waktu itu sudah ada mesin photostate tetapi tidak digunakan secara meluas kerana kosnya yang mahal. Di sekolah-sekolah menggunakan mesin saiklostil untuk memperbanyakkan kertas soalan sama ada soalan latihan atau pun soalan peperiksaan.

Setelah soalan siap dibina, cikgu-cikgu akan menggunakan kertas stensil bersama pen stensil untuk menulis soalan. Kalau tiada pen stensil, guna pen yang sudah kehabisan dakwat pun boleh. Biasanya cikgu tahap 1 yang guna pen stensil sebab cikgu yang tentukan sendiri nak besar mana tulisan. Itulah salah satu sebab tulisan cikgu perlu cantik. Mesin taip sudah pastilah tak boleh nak besarkan tulisan. Tak ada bahagian ‘font’ yang nak ditekan.

Kalau untuk murid tahap 2 atau sekolah menengah, guru-guru boleh gunakan mesin taip. Masukkan kertas stensil dalam mesin taip. Skil menaip macam-macam, macam ayam patuk pun ada, laju macam kereta api pun ada. Kalau dah namanya cikgu, tak pandai pun jadi pandai. Betul tak cikgu-cikgu veteran?
Dah siap menaip, bolehlah mula guna mesin saiklostil. Kalau tak ada pekerja, cikgu juga yang kena buat sendiri. Bagi cikgu perempuan yang bertudung, kalau tak hati-hati, bercoraklah tudung dengan dakwat siklostil.


Ini gambar mesin saiklostil yang ada di sekolah saya. Ini pun saya jumpa dalam stor yang dipenuhi tahi kelawar bersama-sama timbunan buku yang sudah tidak berguna. Sekarang saya tempatkan di ‘Sudut Warisan Sekolah’.

                                                       Mesin siklostil atau mesin penggelek

Kertas stensil dimasukkan ke dalam mesin siklostil


No comments:

Post a Comment