Bolehkah murid-murid
sekolah rendah digalakkan menggunakan kalkulator dalam penyelesaian Matematik.
Bincangkan.
Sebelum zaman teknologi maklumat mula berkembang,
guru terpaksa bergantung kepada kreativiti sendiri dalam mengendali dan
melaksanakan teknik pengajaran yang berkesan di bilik darjah (Mohd Salleh,
2002). Namun, pada masa ini pelbagai alat elektronik termasuklah penggunaan
kalkulator diintergrasi di sekolah bagi tujuan menjadikan pengajaran guru lebih
berkesan.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan
beberapa reformasi pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan
kemampuan sistem pendidikan mencapai negara berteknologi maju pada masa
hadapan. Mesin kira atau kalkulator mula
mengambil tempat dalam proses pembelajaran dan pengajaran bermula di peringkat
matrikulasi dan universiti dan kini telah pun dijalankan di sekolah-sekolah
menengah.
Menurut sejarah, kalkulator elektronik pertama mula
dicipta pada tahun 1960-an, sementara peralatan bersejarah seperti sempoa
dicipta sekitar 2000 SM. Kalkulator merupakan alat elektronik yang menggunakan
teknologi moden untuk mendapatkan jawapan yang pantas dan tepat kepada empat
operasi asas matematik termasuklah trigonometri, logaritma dan statistik.
Hasil daripada beberapa kajian seperti Schmidt dan
Cailahan (1992), Cockcroft (1982) dan rencana-rencana yang membincangkan isu
kalkulator, saya dapati banyak kebaikan dan juga keburukan dalam penggunaan
kalkulator di sekolah rendah.
Kebaikan
penggunaan kalkulator:
i.
Meningkatkan minat
murid terhadap matematik
Pengunaan
kalkulator akan memotivasikan murid-murid untuk mempelajari subjek
matematik. Ia memberansang dan
meningkatkan lagi keupayaan murid-murid dalam meneroka subjek matematik. Ia juga akan dapat meningkatkan minat murid,
dan keyakinan diri kerana kalkulator membantu mereka dalam proses pembelajaran.
ii. Murid dapat menguasai angka dan nilai nombor. Kalkulator membolehkan kanak-kanak mengira
nombor sehingga angka yang lebih besar daripada angka juta dan billion yang
jauh dari pengalaman asal mereka. Dengan ini memudahkan mereka berhadapan
dengan masyarakat sekeliling.
iii. Murid-murid berpeluang membuat penerokaan dan
aplikasi yang lebih mendalam tentang topik-topik
yang berkaitan. Murid menjadi lebih berani untuk meneroka lebih jauh dengan
pengunaan aplikasi kalkulator.
Penggunaan kalkulator yang cepat dan tepat menjadikan murid-murid lebih
agresif dalam meneroka subjek matematik.
iv) Keseronokan
belajar
Murid-murid
biasanya beranggapan matematik merupakan matapelajaran yang susah dan
membosankan. Penggunaan kalkulator akan
membantu menceriakan proses pembelajaran subjek matematik. Murid tidak takut mencuba dan membuat salah
kerana kalkulator memudahkan mereka dalam proses pembelajaran dan membantu
menyelesaikan latihan dengan pantas.
Keburukan penggunaan
kalkulator:
i) Sifat
ambil mudah – penggunaan kalkulator memudahkan pengiraan campur, darab, tolak
dan bahagi. Ini akan mengakibatkan
murid-murid selesa menggunakan kalkulator untuk membuat latihan matematik tanpa
menguasai asas pengiraan dalam subjek matematik. Ini akan memberikan kesan yang tidak baik
dalam jangka panjang apabila murid-murid tidak mempunyai penguasaan dalam skil
matermatik.
ii) Kebergantungan kepada kalkulator –
penggunaan kalkulator secara meluas akan mengakibatkan murid-murid terlalu
bergantung kepada kalkulator. Walaupun
mereka boleh mendapatkan jawapan tetapi pada asasnya mereka tidak tahu bagaimana
jawapan itu diperolehi kerana kalkulator telah mengirakan untuk mereka. Keadaan ini akan mengakibatkan mereka kehilangan idea untuk menyelesaikan
masalah apabila berdepan dengan situasi yang sebegitu.
iii) Malas berfikir – Pengunaan kalkulator
mempercepatkan proses pengiraan dan memendekkan masa untuk berfikir. Tetapi disebalik kenyataan itu risikonya
murid-murid menjadi malas untuk berfikir walaupun berdepan dengan soalan mudah
yang tidak memerlukan penggunaan kalkulator.
Kemalasan untuk berfikir kerana tidak mempunyai keupayaan untuk membuat
‘mental arithmatic’ kerana pengunaan kalkulator telah mengakibatkan mereka
lemah dalam asas matematik dan kurang upaya dalam menggunakan mental dalam
mencongak. Kalkulator hanyalah sebagai alat dalam proses pembelajaran. Ini
dapat dibuktikan dalam ‘Youtube’, https://www.youtube.com/watch?v=PEbd3bUURWU
yang membuktikan mental arithmetic telah dapat mengatasi kepantasan kalkulator.
iv)
Penipuan – ini berlaku apabila murid menggunakan kalkulator canggih berbagai
fungsi selain dari campur, darab, tolak dan bahagi. Setengah dari kalkulator boleh menyimpan
pelbagai maklumat seperti nota, formula yang boleh digunakan untuk menipu
semasa peperiksaan atau ujian. Tanpa
polisi yang jelas dalam mengawal penggunaan kalkulator menyebabkan masaalah ini
sukar dibendung.
Kesimpulannya
penggunaan kalkulator tidak sesuai digunakan di sekolah rendah tahap satu
kerana kanak-kanak ini perlu didedahkan kemahiran asas terlebih dahulu. Mereka
juga perlu diberi peluang untuk meneroka dan mengaitkan matematik dengan
keadaan sekeliling supaya mereka dapat berfikir secara kritis dan kreatif.
Pemikiran
mereka juga perlu diseimbangkan iaitu penggunaan otak kiri dan otak kanan
sebagaimana teori Split-Brain yang menggalakkan kanak-kanak meneroka dan
berfikir secara kreatif. Dalam alaf
teknologi ini, guru perlu mengubah kaedah mengajar yang diamalkan sebelum ini.
Guru terlalu bergantung kepada teknologi dan kurang kepada konsep matematik.
Penggunaan
kalkulator asas sesuai digunakan kepada murid-murid yang berada di tahap dua iaitu
Tahun 4, 5 dan 6 yang telah diperkukuhkan dengan kemahiran asas. Kajian yang
menyeluruh dan kaedah terancang perlu diberi penekanan supaya tidak berlaku kepincangan.
No comments:
Post a Comment